Penyakit Sistemik Lupus Erythematosus

Lupus eritematosus sistemik (SLE/LUPUS) adalah radang teruk (keradangan kronik) yang disebabkan oleh penyakit autoimun yang mana sistem pertahanan badan yang tidak normal melawan tisu badan sendiri.

Lupus Eritematosus Sistemik atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE) ialah suatu penyakit autoimun yang ditandai oleh adanya episod-episod peradangan kronik yang semakin teruk ("exacerbate"), yang seterusnya reda ("remission") dan mungkin berlaku pada pelbagai sistem dalam tubuh. Kompleks imun yang terbentuk dan terendap, serta autoantibodi yang beredar, menyebabkan kerosakan tisu dan kegagalan fungsi organ-organ. Penyakit ini melibatkan Ginjal, sistem saraf pusat, kulit, sel dan pembuluh darah, otot dan tulang (muskuloskeletal), paru-paru dan pleura, sistem kardiovaskular, dan sistem gastrousus.

Penyakit ini lebih kerap berlaku pada kaum wanita berbanding dengan kaum lelaki dan biasanya bermula ketika usia antara 20 tahun hingga 40 tahun. Sebagaimana kepelbagaian organ yang terlibat, lupus eritematosus sistemik tidak mempunyai etiologi yang tunggal. Penyebab penyakit saling berkait dan kemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor genetik (keturunan), autoimun, hormon, dan sekitaran serta pendedahan kepada virus, dadah (Procainamide, Hydralazine dan Isoniazid) atau toksin. Adakalanya penyakit ini bersifat idiopatik (tanpa etiologi yang nyata).

Pesakit mengalami waktu-waktu keaktifan penyakit yang diselangi oleh masa-masa keredaan. Semasa keaktifan penyakit, pesakit kelihatan lemah, mengalami penurunan berat badan dan demam. Tanda-tanda umum di kulit ialah ruam kupu-kupu (eritema di pipi dan hidung), lesi makulopapul di muka, leher dan tungkai badan. Vaskulitis di hulu kuku ("nail bed") jari, petekia (bintit-bintit ungu di kulit), dan bula (lepuhan berair) mungkin juga terlihat pada beberapa pesakit. Kesensitifan terhadap sinar matahari (fotosensitiviti) boleh menimbulkan ruam di kulit. Alopesia mungkin juga berlaku. Atralgia (rasa sakit di sendi) dan poliartritis (peradangan di pelbagai sendi) biasanya bersifat simetri. Keadaan ini menyerupai artritis reumatoid, tetapi biasanya lebih ringan, dan tanpa berlaku hakisan. Peradangan otot yang berlaku umumnya bersifat subklinikal, tetapi adakalanya mungkin berlaku miopati dan atrofi otot. Penglibatan renal (ginjal) berlaku pada lebih kurang separuh pesakit lupus eritematosus sistemik. Pengendapan kompleks imun menyebabkan perubahan-perubahan histologi dan peradangan ginjal. Glomerulonefritis membran menyebabkan berlakunya sindrom nefrotik dan kegagalan fungsi ginjal yang semakin meningkat secara perlahan-lahan sehingga timbulnya tanda-tanda hematuria, proteinuria dan akhirnya ginjal mungkin tidak berfungsi sama sekali, khususnya pada kes-kes parah. Lesi pada sistem saraf akibat pengendapan kompleks imun menyebabkan kelainan pada fungsi mental. Gejala-gejala yang mungkin terlihat ialah psikosis, dementia, epilepsi, dan gangguan kognisi. Neuropati pada sistem saraf periferi juga boleh berlaku. Penglibatan sistem kardiovaskular menyebabkan berlakunya perikarditis dan efusi perikardium. Aterosklerosis pramatang pada pesakit yang dirawat dengan kortikosteriod boleh menimbulkan infarksi miokardium. Kelainan-kelainan yang jarang-jarang berlaku ialah miokarditis dan endokarditis Libman-Sacks. Penglibatan paru-paru dan pleura menyebabkan pneumonitis dan pleurisi; dan penglibatan gastrousus pula menyebabkan gejala-gejala nausea yang tidak khas untuk penyakit ini. Vaskulitis parah di saluran usus boleh menimbulkan nekrosis, perliangan dan perdarahan atau hemoraj.