Batuk Kering

Batuk kering atau penyakit tuberkulosis (sering digelar tibi) adalah jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang biasanya menyerang paru-paru (TB pulmonari) dan ia juga mampu menyerang sistem saraf tunjang (meningitis), sistem limfa, sistem peredaran (TB miliari), sistem genitourinari, tulang, sendi dan lain-lain.

Di Malaysia, penyakit tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini (ketika itu Tanah Melayu -Malaya) di antara tahun 1945 hingga 1957. Kini, seramai 15,852 orang dilaporkan menghidap penyakit batuk kering di negara ini pada 2003 iaitu bersamaan dengan kadar insiden sebanyak 64 kes bagi setiap 100,000 penduduk menurut lapuran Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad. Secara umumnya, terdapat penurunan trend kadar insiden batuk kering di Malaysia iaitu pada kadar dua peratus setahun sejak sepuluh tahun lepas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mendapati imunisasi BCG yang diberikan kepada bayi baru lahir tidak memberi perlindungan sepenuhnya terhadap jangkitan batuk kering. Imunisasi BCG hanya melindungi kanak-kanak daripada mendapat penyakit batuk kering yang teruk. Apabila kanak-kanak meningkat dewasa, risiko jangkitan ini adalah sama dengan orang dewasa lain yang tidak mendapat imunisasi BCG.

WHO menetapkan dua sasaran utama menjelang 2005 iaitu mengesan sekurang-kurangnya 70 peratus kes baru batuk kering kahak positif dalam masyarakat dan menyembuhkan sekurang-kurangnya 85 peratus daripada mereka yang dikesan. Malaysia telah mencapai sasaran ini sejak tahun 2002.
Adalah sukar untuk menentukan bilakah penyakit batuk kering dapat dihapuskan di Malaysia ini memandangkan banyak faktor yang menyumbang kepada kemunculan semula penyakit ini, antaranya termasuk :-
Pendatang asing secara haram tidak disaring daripada penyakit ini.
Pesakit lambat atau tidak mendapatkan rawatan kerana jahil tentang penyakit ini.
Kementerian Kesihatan khususnya bahagian kawalan penyakit berjangkit sentiasa berusaha secara intensif untuk membasmikan semua penyakit berjangkit daripada terus menular di Malaysia.

Mengikut turutan penyakit berjangkit dunia, penyakit tibi berada di tangga ketujuh dan ia tidak pernah berubah sejak tahun 1990.

Tanda dihidapi penyakit

Batuk berdarah atau berkahak.
Sakit di bahagian dada.
Lemah dan keletihan.
Susut berat badan.
Kehilangan selera.
Menggigil.
Demam.
Berpeluh waktu malam.


Menyerang tidak kira kaum, bangsa atau umur, namun kumpulan berisiko tinggi adalah:

Mereka yang dijangkiti AIDS (virus HIV).
Mereka yang mendampingi pesakit batuk kering.
Rakyat asing daripada negara yang mempunyai kadar jangkitan batuk kering yang tinggi.
Sesetengah bangsa dan etnik minoriti.
Mereka yang kekurangan zat dan vitamin.
Pemabuk dan penagih dadah yang dijangkiti HIV.

Batuk kering merebak melalui udara. Apabila penghidap batuk atau bersin, mereka mengeluarkan bakteria dalam udara akan dihidu orang sekeliling.
Apabila seseorang menghidu bakteria batuk kering, bakteria tersebut akan bertapak di dalam paru-paru dan membesar serta bergerak melalui darah kepada buah pinggang, tulang belakang dan otak.